PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan sepak takraw Malaysia yang meraih kemenangan apabila menewaskan Thailand pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu.

“Satu pencapaian yang membanggakan dan luar biasa! Tahniah pasukan sepak takraw Malaysia! Moga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan pada masa akan datang!” menurut Anwar dalam catatan melalui Facebook beliau.

Skuad negara menjuarai acara double dan regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan mengalahkan Thailand 2-0 pada aksi final di Stadium Titiwangsa.

Malam yang cukup sempurna buat sukan sepak takraw Malaysia apabila merangkul dua kejuaraan bagi acara double serta regu dalam satu malam dan lebih bermakna ia terjadi ketika Malaysia menewaskan gergasi seperti Thailand di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Bermain di halaman sendiri ternyata memberi kelebihan cukup besar buat pasukan negara menampilkan aksi terbaik di edisi dunia kali ini.

Pasukan double yang terlebih dahulu turun menentang Thailand membuka langkah cukup gemilang dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14.

Kejayaan awal yang dicipta oleh pasukan double ternyata menyuntik semangat pemain regu negara yang turun selepas itu bertemu pasukan yang sama.

Trio negara, ketuai oleh Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) bagai di rasuk apabila mempamerkan prestasi luar biasa dan bermain dengan begitu cemerlang tanpa banyak melakukan kesilapan untuk menang straight set 15-7, 15-12.