PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil maklum isu yang dikemukakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berhubung isu untuk digunakan untuk tujuan masa hadapan bekas atlet negara.
Sebagai mantan Menteri Belia dan Sukan, beliau mengimbau kembali detik Yakeb ditubuhkan dan menyifatkan masih terdapat banyak tanah yang belum digunakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ianya akan diagihkan kepada yayasan tersebut.
“Saya tahu sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, isu yang dibangkitkan Pengerusi Yakeb tadi adalah tidak ada tanah, sedang mencari-cari tanah. Jadi sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, saya tahu banyak tanah KBS masih belum digunakan,” ujarnya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menjelaskan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri yang berjumlah RM3 juta adalah untuk tempoh dua tahun bermula 2021.
Jelasnya, peruntukan tersebut akan difokuskan terhadap menyediakan peluang pekerjaan untuk bekas atlet kebangsaan yang bernaung di bawah Yakeb.
“Peruntukan ini untuk tahun ini dan tahun lepas. Jadi, tahun ini Perdana Menteri beri kita tiga juta untuk dua tahun. Tahun depan kita mohon balik.
“Dengan adanya peruntukan ini, kita boleh buat lebih banyak program. Kita boleh bantu bekas atlet kita. Lagi banyak kebajikan kita boleh buat, bukan sahaja perubatan tetapi kerjaya.
“Tanah ini kita akan buat satu bangunan atau hotel untuk bekas-bekas atlet bekerja di sana seperti frontdesk, pengurus supaya mereka berjaya menjana pendapatan.
“Kita tidak boleh setiap kali bergantung kepada Kerajaan, kita mesti berusaha mencari sumber lain untuk memastikan Yakeb terus berjalan.
“Kita sebenarnya sudah ada perancangan di Jalan Ipoh, mereka nak beri tanah dan sebagainya di bawah tanah KPM tetapi ada beberapa projek lain dan kita telah disingkirkan.
“Itu terpulang kepada Menteri Belia dan Sukan, orang kata ‘peminta sedekah tidak boleh terlampau memilih’. Asalkan dapat, saya tidak mahu tanah besar-besar. Dua tiga ekar pun cukup. Saya hendak tanah kecil supaya kita dapt berbuat sesuatu.
“Penginapan termasuk berniaga macam hotel, bajet hotel untuk mendapatkan pendapatan dan menyediakan peluang kerjaya. Pilihan saya di Lembah Klang.
“Kita menunggu Yayasan Hasanah memberi kita kursus kejurulatihan dan kursus kemahiran. Kami sedang menunggu untuk mendapat kelulusan dari mereka. Sebelum ini, KBS dan MSN telah memberi kursus di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) namun masih dalam perbincangan,” jelasnya.