KERAJAAN akan terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menerusi peruntukan besar melalui penyediaan dana berjumlah RM324 juta.
“Peruntukan ini antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Jumaat.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyediakan dana RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun 2023 bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet.
“Kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pentadbirannya akan menumpukan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum.
Bagi menjayakan program-program ini, kerajaan akan menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.
“Keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya. Sebanyak 20 juta ringgit disediakan bagi program tersebut,” katanya.