KUARTET 4×100 meter (m) lelaki berada di landasan tepat untuk mencipta rekod baharu kebangsaan, biarpun gagal menghadiahkan pingat di Kejohanan Olahraga Asia yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim berkata, meskipun menamatkan saingan di kedudukan keenam, sasaran ditetapkan di Bangkok berjaya dicapai meskipun di saat akhir, kehilangan tonggak Muhammad Haiqal Hanafi.

“Tanpa Haiqal yang diganti Mohammad Thaqif Hisham, kuartet masih mampu melakukan catatan lebih pantas berbanding di Sukan Sea Kemboja iaitu 39.36 saat (s),” kata Poad.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin dengan catatan semasa kuartet 4x100m lelaki, mampu menjadi lebih baik.

Semalam, kuartet dibarisi pemegang rekod kebangsaan 100m, Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Thaqif dan Jonathan Nyepa, merakam masa 39.20 pada pusingan kelayakan dan memperbaikinya di final dengan kepantasan 39.17s.

Menurut Poad, biarpun meletakkan susunan baru, masa yang dicatatkan lebih bagus dan beliau yakin masa itu akan lebih pantas di Sukan Asia Hangzhou September nanti.

Beliau mengesahkan bahawa berjaya mengenalpasti masalah serta kekurangan yang ada pada kuartet negara.

Pada temasya Sukan Asia Hangzhou nanti, kuartet 4x100m lelaki akan dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail selain mengharapkan Muhammad Haiqal Hanafi sempat pulih dari kecederaan buku lalinya.

Tambahan pula, skuad pecut kebangsaan dijangka akan dapat menggunakan khidmat dua pelari Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail yang pulih dari kecederaan.

Justeru, beliau yakin kuartet di Sukan Asia nanti mampu melakukan catatan di bawah 39.00s.

“Saya lihat ada sedikit masalah teknikal dari segi penyerahan baton ketika pelari kedua dan ketiga. Pelari pertama pun ada masalah sikit… selepas ini kita akan tumpu untuk mengatasi masalah itu.

“Penyerahan baton yang lancar menjadi kelebihan Thailand… sempurna.. Ini kerana mereka sudah lama berlatih bersama-sama termasuk pelari pelapis mereka.

Aspek pertukaran baton akan diberi perhatian lebih serius.

“Tapi secara keseluruhan saya berpuas hati biarpun kehadiran Thaqif pelari baru yang gantikan Haiqal (Hanafi) kita tetap mampu catatkan masa lebih baik,” katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi kuartet Thailand yang dibarisi Natawat Lamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson yang mencatat masa terpantas 38.55s yang juga rekod baharu kejohanan.

Kuartet China meraih perak dengan catatan 38.87s, manakala Korea Selatan ketiga 38.99s.