KELAB Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC mengesahkan pengurus, Mauricio Pochettino telah dilepaskan selepas mendapat persetujuan bersama dari kedua-dua pihak.

“Bagi pihak semua pihak di Chelsea, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Mauricio untuk khidmat yang diberikan musim ini. Dia akan sentiasa dialu-alukan di Stamford Bridge dan kami ucapkan selamat maju jaya dalam kariernya,” menurut Pengarah Sukan Laurence Stewart dan Paul Winstanley.

“Terima kasih kepada kumpulan pemilikan Chelsea dan Pengarah Sukan yang telah memberikan peluang buat saya menjadi sebahagian daripada sejarah kelab bola sepak ini. Kelab ini kini dalam arah yang tepat untuk bergerak maju dalam Liga Perdana dan kejohanan Eropah,” kata Pochettino dalam kenyataan media yang dikeluarkan kelab.

Turut meninggalkan Stamford Bridge bersama Pochettino adalah barisan kejurulatihan – Jesus Perez, Miguel d’Agostino, Toni Jimenez dan Sebastiano Pochettino dan kelab juga tidak akan membuat sebarang komen sehingga Ketua Jurulatih baharu diumumkan.

Pengendali asal Argentina berusia 52 tahun itu hanya bertahan selama 11 bulan selepas dilantik pada Mei 2023 menggantikan pengurus interim, Frank Lampard yang di bawa masuk menggantikan Graham Potter yang dipecat pada April 2023.

Pochettino membawa cabaran skuad muda The Blues ke final Piala Carabao serta separuh akhir Piala FA dan meskipun bergelut dalam liga, Chelsea berjaya menamatkan kempen dengan lima kemenangan berturut-turut sekaligus menduduki tangga keenam dan mengesahkan tempat ke kejohanan kelab Eropah musim hadapan.