INSIDEN tidak diingini menimpa skuad berbasikal trek negara sebelum temasya Sukan Asia, apabila Datuk Azizulhasni Awang terbabit kemalangan pada kelajuan tinggi dalam sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai, pada Jumaat.

Kemalangan itu menimbulkan tanda tanya terhadap kondisi sebenar Azizulhasni, namun atlet yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman berkongsi cerita bahawa dia tidak mengalami kecederaan teruk.

Menerusi perkongsian di media sosialnya, Azizulhasni, 35, berkongsi rakaman video kemalangan menyaksikan dia terjatuh ketika sedang memecut mengejar motosikal di hadapannya.

Pelumba berasal dari Terengganu berkata, kemalangan terbabit berlaku selepas basikal yang ditunggang mengalami kegagalan mekanikal.

Azizulhasni tiba-tiba hilang kawalan dan terjatuh akibat masalh mekanikal basikal, ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional, Nilai, semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengalami kecederaan serius akibat daripada kemalangan terbabit.

“Sekadar untuk berkongsi dengan semua yang saya terbabit dengan kemalangan kelajuan tinggi ketika sesi latihan disebabkan kegagalan mekanikal.

“Kemalangan berlaku di selekoh pertama velodrom ketika saya memecut laju mengejar motosikal di hadapan. Saya bersyukur kemalangan ini tidak mengakibatkan perkara lebih buruk. Ia sebenarnya boleh mendatangkan kecederaan yang serius.

Ketua Jurulatih John Beasley dan pelatih basikal trek negara, mengerumuni Datuk Azizulhasni Awang yang terlibat kemalangan dalam latihan, pada Jumaat.

“Sebarang kemalangan yang berlaku dalam situasi ini bukan bahan jenaka. Alhamdulillah, Allah selamatkan saya,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Hangzhou yang bakal bermula dari 23 September hingga 8 Oktober ini, akan beraksi dalam dua acara iaitu pecut dan keirin.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.