SANDARAN pingat emas Olimpik negara, Datuk Azizulhasni Awang sudah kembali melakukan persiapan rapi untuk Paris 2024 dengan menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Tidak dapat dinafikan bahawa jaguh berbasikal pecut negara itu, prospek terbaik merealisasikan emas pertama negara di Paris.

Meskipun berada di Australia, perkembangan bekas juara dunia 2017 itu tetap dipantau rapi Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memastikan pelumba yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ kekal pada tahap prestasi terbaik.

Perkembangan Datuk Azizulhasni Awang di Melbourne sentiasa dipantau MSN. -Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, Azizul kini kembali menjalani latihan di Melbourne sebagai persiapan mempersiapkan diri untuk berdepan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik.

“Ketika ini Azizul dan Shah Firdaus (Sahrom) sudah hampir pasti layak ke Olimpik cuma kita perlu tunggu sehingga tarikh akhir kelayakan iaitu pada April.

“John (Beasley) serta beberapa pelumba negara yang lain termasuk Shah Firdaus juga, akan berada di Melbourne dalam waktu terdekat.

Azizulhasni dikerumuni ketua jurulatih John Beasley dan pelatih basikal trek negara, selepas terlibat kemalangan dalam latihan sebelum ke Sukan Asia, Hangzhou, China.

“Segala perkembangan Azizul akan dimaklumkan kepada MSN dan Azizul dijangka akan menyertai beberapa perlumbaan kecil di Australia sebelum turun beraksi Piala Dunia,” katanya.

Berdasarkan perancangan, Azizul akan menyertai perlumbaan kompetetif pertamanya tahun depan pada Siri Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia, Hong Kong dan Kanada.

Sebelum ini, Azizulhasni yang meraih dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Asia Hangzhou selepas terbabit dengan kemalangan ketika menjalani latihan sehingga menyebabkan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, melupakan perburuan emas di temasya sebenua terbabit.

Namun Azizulhasni sudah pulih sepenuhnya selepas meraih pingat perak dalam acara keirin di Kejohanan Australia Wheel Race di Melbourne, baru-baru ini.