JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui amat teruja untuk memulakan saingan dalam acara pecut di Sukan Olimpik Paris, lewat petang ini.

Pelumba berusia 36 tahun itu menganggap, pengalaman mewakili kontinjen negara sebagai pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan dalam kerjayanya sebagai pelumba basikal.

“Saya sangat teruja untuk memulakan pertandingan bagi Olimpik kelima dan terakhir saya,” kata Azizulhasni, menerusi perkongsiannya menerusi akaun Facebook miliknya.

Sementara itu, pakar jantung dari Institut Jantung Negara (ISN), Profesor Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon yang mengiringi The Pocket Rocketman ke Paris, mengesahkan bahawa Azizulhasni berada dalam kondisi terbaik menjelang perlumbaan pecut individu petang ini.

“Kita tetapkan sasaran pemulihan Datuk Azizulhasni menerusi dua tahap.

“Tahap pertama sebagai individu yang mengalami pembedahan , manakala tahap kedua adalah sebagai seorang atlet elit.

“Dia telah mencapai kedua-duanya dalam waktu yang singkat, malah lebih daripada aya yang kita jangkka dan sejak itu, tiada apa-apa masalah yang membimbangkan kita,” kata beliau.

Justeru, beliau menegaskan, Azizulhasni mendapat lesen hijau untuk beraksi di tahap optimum dalam usaha memburu pingat emas pertama malaysia.

Jadual berbasikal trek Sukan Olimpik Paris 2024 melibatkan pelumba negara (7 Ogos).

Atlet: Datuk Azizulhasni Awang & Mohd Shah Firdaus Sahrom

>Pusingan kelayakan pecut individu lelaki – 6.45 petang

>Pusingan 1/32 pecut individu lelaki – 8.30 malam

>Repechages Pusingan 1/32 pecut individu lelaki – 9.30 malam

>Pusingan 1/16 pecut individu lelaki – 11.30 malam

>Repechages pusiingan 1/16 pecut individu lelaki – 12.40 tengah malam

>Pusingan 1/8 pecut individu lelaki – 1.38 pagi

>Repechages pusingan 1/8 pecut individu lelaki – 2.14 pagi

Atlet: Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

>Pusingan 1 keirin wanita – 7.26 petang

>Repechages keirin wanita – 9.10 malam