FOTO : FB HAKIM DANISH

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli, muncul sebagai kejutan besar apabila mencatatkan keputusan podium dalam Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis pada Ahad.

Dia yang berusia 17 tahun dan kelahiran Kuala Terengganu menunjukkan bakatnya dengan bertarung sengit dalam kelompok tiga terbaik sepanjang saingan.

Hakim mencatat masa 25 minit 21.768 saat untuk kedudukan ketiga, mengesahkan keupayaan dan ketekunan yang dimilikinya dalam dunia perlumbaan motosikal.

“Alhamdulillah, selesai race 2 dekat Le Mans hari ini (semalam). Pada awal perlumbaan saya buat good start dan semasa dalam perlumbaan saya cuma fokus untuk duduk di group hadapan.

“Pada last lap saya cuba untuk menang tapi belum ada rezeki lagi. Terima kasih kepada semua penaja, family saya dan semua yang support saya. Kita jumpa next round,” katanya selepas perlumbaan.

Hakim Danish meraikan kejayaan bersama pasukannya di Litar Le Mans, Perancis.

Brian Uriarte dan Maximo Quiles dari Sepanyol menunjukkan prestasi cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dan kedua masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN : “Doakan kejayaan saya race esok” – Hakim Danish

Kejayaan Hakim dalam mencapai podium ini bukan sahaja memberinya pengiktirafan sebagai pelumba muda yang berpotensi, tetapi juga membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dalam arena motosikal.

Diharapkan pencapaiannya ini akan memberinya dorongan untuk terus maju dan berkembang dalam dunia perlumbaan ini.