PAUL Pogba bakal memakai jersi ikonik No.10 selepas kembali ke Juventus dari Manchester United.

Pemain kelahiran Perancis itu menerima sambutan positif daripada peminat-peminat kelab ketika tiba di Turin bagi menjalani ujian kesihatan.

Pogba menandatangani kontrak bersama Old Lady selama empat tahun selepas kali terakhirnya bermain di kelab ini pada musim 2016.

Keputusan Pogba untuk kembali ke Juventus selepas kontrak kali keduanya bersama Manchester United tamat minggu lalu.

Sebelum ini, dia dikaitkan dengan Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG).

Pogba kembali ke Juventus meneruskan kariernya selepas tamat kontrak bersama Manchester United. Foto: Juventus FC

“Black like I never left’,” tulis Pogba di laman Instagramnya.

Semasa tempoh pertamanya di Juventus, Pogba menyarung jersi nombor enam selama tiga musim sebelum mengambil nombor 10 dalam kempen terakhirnya.

Berikutan pemergian Paulo Dybala baru-baru ini, pemain berusia 29 tahun itu sekali lagi akan memakai nombor 10 yang terkenal seperti yang pernah dipakai oleh legenda kelab seperti Roberto Baggio dan Allessandro Del Piero.

Baggio menjaringkan 115 gol dalam 200 perlawanan untuk Juventus membantu memenangi Piala UEFA pada 1993 dan berganda Serie A dan Coppa Italia pada 1995.

Manakala Del Piero menghabiskan 19 tahun di Turin dengan menjaringkan 289 gol dalam 702 perlawanan, merangkul enam gelaran Serie A dan Liga Juara-Juara pada 1996.