PEMAIN bola sepak sensasi, Faisal Abdul Halim yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam sejak Ahad menerima jaminan keselamatan yang tinggi apabila terdapat beberapa pegawai polis dilihat berada di sekitar kawasan hospital.

Faisal yang baru selesai menjalani pembedahan ketiga pada Khamis kini berada pada fasa pemulihan yang dipanggil rekonstruktif, dengan tahap protokol dan undang-undang sedia menjadi lebih ketat.

Oleh itu, berdasarkan tinjauan FLASH SUKAN pada petang Jumaat, beberapa orang polis kelihatan berlegar dan memantau sekitar kawasan hospital demi memastikan tiada unsur yang negatif berlaku di tempat berkenaan.

Keselamatan Faisal Halim lebih dikawal ketat.

Difahamkan, pengawal keselamatan juga telah ditempatkan di kawasan wad atau bilik Faisal bagi mengetatkan lagi kawalan keselamatan sejurus mengelak daripada berlaku sebarang lawatan luar.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Faisal kini tampak lebih ceria dan sudah mula berjalan di dalam biliknya.

Faisal juga selesai menjalani pembedahan ketiga pada Khamis, dimana pembedahan itu lebih tertumpu kepada penampalan ‘skin allograft’ yang tiba dari Belgium.