JUMLAH bilangan pegawai dan anggota polis akan ditambah sempena perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 19 Oktober depan.
Aksi membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim di Ipoh dijangka hangat dan bakal dipenuhi lautan penyokong tuan rumah serta pelawat.
Kenyataan rasmi Perak FC memaklumkan bahawa terdapat kawalan ketat di pintu-pintu masuk serta kawasan zon penampan (buffer zone) yang memisahkan para penyokong kedua-dua pasukan.
“Bersempena dengan perlawanan peringkat Separuh Akhir 1, Piala Malaysia 2023 yang membabitkan pertemuan antara pasukan Perak dan JDT pada 19 Oktober 2023 (Khamis) di Stadium Perak, Ipoh, Perak FC bersama-sama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (Polis Perak), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh (Polis Ipoh), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, Ipoh serta “marshal” Stadium Perak telah mencapai kesepakatan dalam menjaga serta memastikan keselamatan para penyokong pasukan tuan rumah mahupun pelawat yang akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Sehubungan dengan itu, bagi menjayakan hasrat berkenaan, beberapa ketetapan telah dicapai antaranya berkaitan larangan membawa masuk barangan terlarang yang perlu dipatuhi oleh para penyokong kedua-dua pasukan sempena perlawanan tersebut,” katanya.
Malah, kenyataan itu berkata, makluman secara rasmi kepada pihak pentadbiran pasukan JDT juga telah dibuat dan Perak FC berharap agar dapat dipatuhi oleh para penyokong pasukan tersebut yang akan berkunjung ke Bandaraya Ipoh nanti.
“Pasukan keselamatan juga akan memastikan bahawa suasana sebelum, semasa dan selepas perlawanan akan sentiasa terkawal bagi memberi keselesaan dan keseronokan kepada para penyokong yang berkunjung ke Stadium Perak pada hari tersebut.
“Perak FC akan sentiasa menyalurkan informasi-informasi terkini yang berkaitan di laman rasmi Perak Football Club bagi kemudahan para penyokong yang akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut,” katanya.