KEKECOHAN selepas aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC di Kuala Nerus, Isnin malam menyaksikan seorang penyokong ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, lelaki berusia 27 tahun dari Kampung Manir, Kuala Terengganu itu dicekup ketika membuat kekacauan kira-kira 11.30 malam.
Beliau berkata, insiden berkenaan dipercayai tercetus apabila sekitar 300 penyokong TFC berkumpul di laluan keluar pasukan Selangor di luar stadium.
“Sekumpulan penyokong kemudian membaling batu dan objek keras ke arah bas yang membawa pemain Selangor mengakibatkan kenderaan itu rosak di bahagian cermin dan tingkap.
“Pada masa itu, pasukan polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang sedang melakukan perbuatan terbabit.
“Pihak pengurusan Selangor turut membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Selepas jam 2 pagi, semua bas penyokong Selangor yang diiringi pihak polis telah selamat memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2),” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Selangor FC mara ke final Piala Malaysia dengan agregat 3-2 meskipun tewas 0-1 dalam aksi timbal balik kedua.
Perlawanan itu bagaimanapun dicemari insiden melibatkan penyokong TFC yang membaling objek ke arah penyokong Selangor di dalam stadium sebaik wisel penamat ditiupkan pengadil.
ARTIKEL BERKAITAN: Cheng Hoe sugul, trauma insiden keganasan berlaku hingga rosakkan bas milik pasukan Selangor FC
Turut tular di media sosial beberapa video menunjukkan sekumpulan penyokong TFC melontar batu ke arah bas yang turut dikongsi pemain Selangor, Muhammad Fazly Mazlan di laman Instagram.
Sementara itu TFC menerusi kenyataan awal mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokongnya yang menjadi punca kekacauan itu berlaku.