POLIS mengesahkan insiden melibatkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim yang mengalami kecederaan selepas disimbah asid dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.51 petang berhubung kejadian itu.

“Mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya. Keadaan mangsa adalah stabil.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

FLASH SUKAN melaporkan bintang Selangor FC itu cedera disimbah asid ketika berada di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya.

Semasa kejadian, Faisal dihampiri oleh dua individu bermotosikal sebelum disimbah asid, yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan di muka dan badan.

Faisal kini sedang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan dalam keadaan stabil. Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.