KEJOHANAN Polo Piala Agong 2023 menamatkan aksi separuh akhirnya di Taman Ekuestrin Putrajaya dengan menyaksikan pasukan Royal Pahang Polo Club (RPPC) tewas 6:7 1/2 kepada pasukan Jogo Polo.

RPPC yang turut dianggotai oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta anakanda Tengku Hassanal Ibrahim telah menjadi salah satu tumpuan utama bagi para peminat sukan polo tanah air.

Walaupun RPPC tidak berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Agong, ia tidak menjadi satu penyesalan buat para penyokong yang membanjiri tempat perlawanan kerana usaha untuk mengasak kubu perlawanan Jogo Polo itu dilihat seiring dengan semangat sepasukan mereka yang tinggi.

Tidak dinafikan bahawa Jogo Polo mempunyai daya kekuatan tersendiri dan akhirnya melayakkan mereka ke perlawanan akhir Piala Agong apabila memberi 7 1/2 mata dalam keseluruhan empat chukka.

Selepas ini, pasukan Jogo Polo bakal bertemu dengan Brunei Polo Team dalam pertembungan akhir Kejohanan Polo Piala Agong 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.