PERUNDING Skuad Sepaktakraw Kebangsaan, Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong dari Thailand mula melapor diri di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil bagi membantu persiapan Piala Dunia Sepak takraw, Kuala Lumpur 2024.

Perkara ini telah disahkan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sendiri menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke dalam Instagram rasminya yang menyatakan kehadiran dua sosok hebat itu untuk membantu barisan kejurulatihan sepak takraw.

 

Poonsak merupakan pemain sepak takraw yang berjaya meraih empat pingat emas Sukan Asia Bangkok 1998, Busan 2002 serta Sukan SEA Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001 selain menjadi bekas jurulatih di sebuah kelab juara Liga Sepak Takraw Thailand 2022.

Manakala Seksan pula adalah tulang belakang yang membantu kejuaraan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam acara beregu Kejohanan Piala Tun Ali Kedua di Bukit Serindit, Melaka pada November lalu.

Dia juga pernah mengungguli Thailand dalam menaruh pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Maka, tidak mustahil kehadiran dua perunding berkarisma ini bakal menguatkan lagi skuad sepak takraw Malaysia seterusnya serba sedikit membantu pihak PSM dalam memacu kejayaan di Piala Dunia Sepak Takraw yang bakal berlangsung dari 19 hingga 26 Mei 2024.

Kejohanan julung kali itu akan diadakan di Stadium Titiwangsa yang melibatkan 16 pasukan maksimum dan juga bakal memperkenalkan sistem ranking kepada negara-negara yang bertanding.

Artikel Berkaitan: Malaysia jadi perintis Piala Dunia Sepak Takraw, perkenal sistem ranking