PENDAYUNG Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP), Khairul Naim Zainal, memperoleh kejayaan gemilang dengan menjuarai Peringkat 1 Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 di Pantai Rantau Panjang pada Jumaat.
Lebih menarik, ini adalah penyertaan pertamanya dalam acara kanu yang menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara namun Khairul Naim telah membuktikan bahawa dia adalah seorang atlet kebangsaan yang cemerlang.
Khairul yang menjulang diri sebagai juara dalam perlumbaan kategori Kebangsaan SS1 lelaki dengan pencapaian masa luar biasa hanya mencatat masa 1 jam 5 minit dan 56.18 saat sahaja untuk menyelesaikan perlumbaan sejauh 14 kilometer.
Prestasinya ini sejurus meninggalkan dua pesaing terdekatnya dari Johor, Montoya Raw dan Mirza Adli Shaharaziz, yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Setelah meraih kemenangannya, Khairul Naim sempat berkongsi pengalaman dan kegembiraannya dalam sebuah sidang akhbar.
“Saya bersyukur atas kemenangan pada hari ini dan saya tidak ada rahsia yang khusus dalam kejayaan tetapi saya hanya mencuba menampilkan kayuhan yang baik daripada awal sehingga penghujung perlumbaan.
“Daripada segi cabaran, memang saya akui agak mencabar dan jarak perlumbaan juga agak jauh dan perlumbaan pertama dalam acara sebegini banyak memberi pengajaran terutama dari segi mengawal kanu.
“Saya akan terus perbaiki kekurangan saya bagi mendepani perlumbaan akan datang dan cuba mengekalkan kedudukan selaku pendahulu ini sehingga peringkat terakhir di Kuantan nanti,” ujarnya.
Prestasi gemilang Khairul Naim bukan sahaja menjadi sumber inspirasi bagi atlet-atlet kanu yang lain, tetapi juga memperlihatkan betapa pentingnya usaha keras, komitmen, dan ketekunan dalam mencapai matlamat.
Sementara itu, kategori Kebangsaan SS1 wanita, Nur Atasha Nabila Saring dari Johor juga meraih gelaran juara dengan catatan masa yang cemerlang, 1 jam 10 minit 23.67 saat (s).
Kejayaan ini menunjukkan betapa sengitnya persaingan dalam dunia kanu, juga atlet-atlet wanita yang memberikan saingan sangat hebat.
Selain itu, wakil-wakil dari Johor terus menguasai Pantai Rantau Panjang dengan kemenangan dalam beberapa kategori lain termasuklah kategori Terbuka Malaysia TK2 lelaki dan acara Inter Varsiti lelaki dan wanita sejurus membuktikan keunggulan Johor dalam sukan kanu.
Kejohanan POPIC 2023 yang menampilkan 150 peserta bakal melangsungkan aksi peringkat keduanya di Pantai Lagenda, Pekan pada 4 November 2023.