JENAMA premium Volkswagen, Audi dan Porsche akan menyertai Formula Satu apabila badan pengelola berjaya menyakinkan pembuat kereta Jerman itu.

“Pihak pengelola Formula Satu berjaya meyakinkan bahawa penyertaan kami ini akan membawa lebih banyak pulangan daripada kos yang dibelanjakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Herbert Diess (gambar) pada Isnin.

Spekulasi tentang penglibatan kerjasama dua jenama ini untuk menyertai kelas tertinggi yang sejak sedekad ini didominasi pesaing Jerman, Mercedes sudah lama berlaku dan kini semakin hampir menjadi kenyataan.

Diess juga berkata bahawa persediaan Porsche untuk menyertai Formula Satu dilihat lebih kukuh berbanding Audi.

Audi sudah bersedia mengawal sekitar €500 juta kepada pembuat kereta British, McLaren sebagai langkah untuk menyertai sukan ini manakala Porsche ingin mewujudkan kerjasama jangka panjang dengan Red Bull yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Selain daripada sudut ekonomi, impak pengiklanan yang tinggi menerusi Formula Satu terhadap jenama adalah antara penyebab yang meyakinkan kerjasama ini. Jika kerjasama ini berlaku, Porsche akan mengurangkan aktiviti dalam siri perlumbaan lain dengan meletakkan fokus kepada Formula Satu.

Keputusan ini hadir ketika Volkswagen bersedia untuk menyenaraikan Porsche AG di pasaran saham pada suku keempat tahun ini walaupun ada sumber mengatakan penyertaan mereka dalam Formula Satu hanya akan berlaku beberapa tahun lagi.

Sukan Formula Satu pastinya akan lebih meriah dengan kehadiran enjin Porsche dan Audi selepas Mercedes, Ferrari, Renault dan Honda dalam kalendar perlumbaan kini.