POS MALAYSIA BERHAD dengan kerjasama bersama Malaysia Football League (MFL) melancarkan set koleksi Piala Malaysia dengan memaparkan kelab-kelab dan beberapa pemain pilihan yang bertanding dalam Piala Malaysia 2022.

Sebagai rakan logistik rasmi MFL, Pos Malaysia mendedikasikan set memorabilia edisi terhad Setem Ku ini untuk para penyokong setia bola sepak tempatan dan juga kepada pengumpul setem tegar.

Setiap set setem yang dikeluarkan ini mempunyai 16 keping setem, dengan setiap satu memaparkan kesemua pasukan dan imej aksi pemain dengan warna yang mewakili setiap pasukan.

CEO MFL, Stuart Ramalingam dan CEO Pos Malaysia Charles Brewer ketika majlis pelancaran setem edisi khas Piala Malaysia 2022

Antara pemain yang dipaparkan pada setem itu adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan Arif Aiman, Faisal Halim dan Kpah Sherman untuk Terengganu FC serta Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal bagi Selangor FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer gembira dan berbangga dengan kerjasama bersama MFL dan penghasilan setem edisi khas ini adalah bukti komitmen terhadap kerjasama ini.

“Pos Malaysia gembira dan berbangga kerana telah diberikan kepercayaan sebagai rakan logistik rasmi MFL. Kami sudah menghantar dengan selamat 132 bola perlawanan dan dua piala berprestij iaitu Piala Liga Super dan Piala FA.

“Bagi kami penghasilan setem edisi khas ini adalah sebagai tanda komitmen kami terhadap kerjasama ini dan juga untuk kami membina kepercayaan jenama Pos Malaysiankepada semua penyokong bola sepak tempatan,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam juga turut gembira dengan kolaborasi ini dan ianya selaras dengan misi MFL mahu memastikan pengukuhan jenama rakan strategik menerusi kerjasama.

“Kami sangat gembira dengan kolaborasi bersama Pos Malaysia ini dan usaha mereka untuk menghasilkan setem edisi terhad ini sejajar dengan hasrat MFL untuk membantu pengukuhan jenama rakan strategik melalui liputan meluas Liga Malaysia,” katanya.

Pembeli koleksi setem edisi khas ini juga akan berpeluang memenangi tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 serta pelbagai lagi cenderahati Pos Malaysia dan MFL.