KERJASAMA penuh dari pihak Kerajaan perlu untuk memastikan potensi membida hak tuan rumah pada kejohanan Piala Dunia di peringkat bawah umur menjadi kenyataan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hasrat dan impian menyaksikan Malaysia menganjurkan kejohanan berprestij itu tetap ada selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada Piala Dunia B-20 edisi 1997.
“Kemungkinan untuk kita membida hak menjadi tuan rumah Piala Dunia di pelbagai peringkat umur sentiasa terbuka. Kita boleh lihat Indonesia menjadi penganjur Piala Dunia B-20 pada tahun ini.
“Kita (Malaysia) pun boleh buat kerana ia bagus untuk bola sepak dan kali terakhir pun kita menjadi tuan rumah adalah pada 1997 untuk Piala Dunia B-17.
“Namun, harus kita sedari kos untuk menjadi penganjur kejohanan akhir sangat tinggi dan kita perlukan sokongan penuh daripada pihak kerajaan,” katanya di Wisma FAM pada Selasa.
Kejohanan Piala Dunia B-17 bakal dianjurkan di Peru pada November depan manakala Piala Dunia B-20 berlangsung di Indonesia pada Mei nanti.
Seandainya FAM serius membida, mungkin edisi 2025 atau 2027 dilihat realistik dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) difahamkan akan membuka bidaan tuan rumah tidak lama lagi.