KETUA Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik 2024, Datuk R. Subramaniam menyifatkan bahawa beberapa kesilapan yang terjadi semasa temasya Olimpik Paris lalu, perlu dijadikan sebagai satu pengajaran buat kontinjennya.
Menurutnya, setiap perkara yang berlaku pastinya mempunyai iktibar dan tauladan supaya kesalahan yang sama tidak akan berulang lagi terutama bagi acara powerlifting yang mensasarkan pingat emas menerusi prospek utama, Bonnie Bunyau Gustin.
Ia susulan insiden terlepas pingat seperti yang dialami oleh jaguh angkat berat negara, Muhammad Aniq Kasdan yang hanya mempunyai perbezaan satu kilogram (kg) dengan pemenang pingat gangsa di Olimpik Paris lalu.
“Kem powerlifting negara menjadikan tauladan terhadap apa yang berlaku kepada atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan yang terlepas pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris, baru-baru ini.
“Apa yang sudah berlaku, jika kita tidak ambil tahu bermakna kita tidak belajar apa-apa. Kita kena belajar daripada kesilapan orang. Itu cabarannya. Jika tidak, bermaksud kita tidak melakukan sebarang perubahan.
“Jadi di sini, kita perlu melakukan perancangan dan strategi terbaik terutama buat atlet powerlifting kita,” kata Subramaniam ketika ditemui pada Rabu.
Aniq beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) terpaksa berputih mata apabila terlepas peluang meraih pingat, dengan perbezaan 1kg bersama pemenang gangsa.
Sedikit kesilapan yang difahamkan terjadi terhadap badang negara itu diharap supaya tidak berlaku kepada skuad powerlifting menjelang Paralimpik Paris nanti. Bonnie yang menjadi harapan pingat emas akan bertanding dalam kategori 72kg pada 6 September depan.