SELEPAS mengharungi saingan sengit di Kejohanan Jemputan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL), pemain negara hanya berehat sehari sebelum memulakan kem latihan selama tiga hari.
Kem ini bertujuan untuk memperhalusi kemahiran dan strategi mereka untuk permainan yang akan datang.
Ketua jurulatih Jeff Viernes, menyatakan keyakinannya tentang persiapan pasukan dan perlawanan akan datang.
“Sejujurnya, ini adalah kali pertama kami dapat membuat persiapan bagi menghadapi Pra-Kelayakan Piala Asia FIBA 2025 terutama perlawanan pertama menentang Singapura.
“Sekurang-kurangnya saya sudah menyediakan pelan permainan, kita hanya perlu melaksanakan di sini dalam latihan, saya menjangkakan pemain memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan,” katanya.
Pasukan negara akan berlepas ke Mongolia pada Selasa dan menentang Singapura, Guam, dan Hong Kong dalam Kumpulan F pusingan kedua Pra-Kelayakan Piala Asia 2025 FIBA.
Walaupun tugasan yang mencabar, para pemain yakin dengan kebolehan mereka dan akan memberikan yang terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.
Pasukan yang sudah layak ke Kelayakan Piala Asia 2025 adalah pasukan yang bermain di Piala Asia 2022.
Pasukan tersebut adalah juara bertahan Australia, Lubnan, New Zealand, Jordan, Iran, Jepun, China, Korea, Indonesia, Chinese Taipei, Syria , Filipina, Arab Saudi, Bahrain, Kazakhstan dan India.