KEHANGATAN perlumbaan MotoGP di Malaysia sememangnya tidak dapat dinafikan sejak kali pertama Malaysia menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada 1991 di Litar Shah Alam.

Sejak diadakan di Litar Antarabangsa Sepang bermula pada 1999, Grand Prix Malaysia sentiasa mencatat kehadiran pengunjung yang ramai untuk sama-sama menyaksikan aksi perlumbaan kelas dunia yang dipamerkan pelumba-pelumba handalan dari seluruh dunia.

Seperti juga kebiasaan, Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi medan ujian rasmi MotoGP Winter Testing saban tahun dan ujian untuk musim ini baharu sahaja tamat pada 12 Februari 2023 dan ianya sekali lagi mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan permotoran ini.

 

 

 

Melalui tinjauan FLASH SUKAN di Litar Antarabangsa Sepang sepanjang tiga hari ujian berlangsung, ramai peminat yang mengunjungi litar untuk menyaksikan secara langsung sesi latihan yang melibatkan kesemua pelumba musim 2023 yang sedang mencari set up terbaik sebelum permulaan musim sebenar.

Angka rasmi yang dikeluarkan pihak litar, Sepang International Circuit (SIC) menunjukkan lebih 13,000 pengunjung hadir pada sesi ujian tiga hari itu meskipun terpaksa berhadapan cuaca yang tidak menentu dengan kadang kala panas terik dan ada kalanya hujan lebat.

Pihak SIC juga berjaya membuat transaksi jualan tiket early bird yang memberikan potongan harga sehingga 15 peratus kepada pembeli awal meskipun perlumbaan sebenar hanya akan berlangsung pada November 2023.

 

Terdapat beberapa aktiviti yang telah dilakukan pihak SIC seperti ‘pit lane walk’ pada Jumaat dan Sabtu dan ini menjadi tarikan pengunjung kerana mereka berpeluang berjumpa dengan para pelumba kesayangan dan juga melihat sendiri jentera yang digunakan dengan lebih dekat.

Selain itu ada juga beberapa pasukan yang menggunakan kesempatan ini untuk beramah mesra dengan pengunjung dan memberikan cenderahati rasmi pasukan kepada mereka yang bertuah.

Ternyata MotoGP sememangnya mempunyai peminat tersendiri dan keupayaan SIC untuk menarik minat pengunjung hadir ke litar seharusnya diberikan pujian dan ini akan membantu jualan tiket untuk Grand Prix Malaysia Petronas 2023 yang dijadualkan dari 10 hingga 12 November 2023.