PERTAMA kali beraksi dalam kategori bawah 67 kilogram (kg) meletakkan karateka negara, S Prem Kumar dalam situasi tidak selesa, malah mengakibatkan peluang sekurang-kurangnya mempertahan pingat dimenangi lima tahun lalu, terlepas begitu sahaja.
Pemenang pingat gangsa kumite bawah 60kg, Sukan Asia Jakarta-Palembang itu, menegaskan dia tidak gentar pada perlawanan suku akhir, namun lawannya Didar Amirali dari Kazakhstan terlalu kuat dan berpengalaman.
“Sudah tentu saya mahu kembali ke kategori sebelum ini kerana profil saya sudah tinggi dan kalau masuk bertanding, tidak akan pulang tangan kosong.
“Sudah tentu sedih (pencapaian di Sukan Asia 2022) tetapi tidak mengapalah. Saya sudah memberikan yang terbaik dan kini saya perlu mempersiap diri untuk pertandingan seterusnya,” katanya.
Terdahulu, dalam aksi di Gimnasium Suikan Linping, Prem Kumar berjaya mara ke suku akhir apabila menewaskan atlet Sri Lanka, dengan keputusan 2-0 namun tumbang di tangan atlet dari Kazakhstan, Didar Amarali 8-0 sekali gus tidak layak beraksi di pusingan ‘repecharge’.
Didar adalah pemenang pingat perak kategori bawah 67kg di Jakarta-Palembang, selain memenangi dua perak di Kejohanan Karate Asia.
Mengulas mengenai nasibnya di Temasya Hangzhou, Prem berkata, “Ia satu perjalanan sukar kerana saya perlu menaikkan berat badan sehingga sembilan kilogram hanya dalam tempoh tiga minggu.
“Saya ke sini tanpa memikirkan pingat tetapi lebih kepada persembahan kerana kalau saya beraksi baik, sudah tentu saya mampu mendapat pingat,” katanya.
Sementara itu, perjalanan atlet kumite wanita, P Madhuri tersekat di pusingan 16 apabila tewas di tangan atlet dari Jordan, Mansour Leen bagi kategori bawah -55 kg.
Madhuri gagal mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila tumbang 2-11 di tangan lawannya itu.