PELBAGAI situasi dihadapi, kecederaan, bergelut dengan prestasi, pertukaran kategori berat badan, gagal meraih sebarang pingat di Sukan Asia, jaguh karate negara S. Prem Kumar hanya mahu berehat dan menikmati juadah sempena perayaan Deepavali ada Ahad.

Pemenang pingat emas kumite bawah 55 kilogram (kg) di Sukan SEA Kemboja itu berkata, musim kejohanan sudah berakhir buat sukan karate untuk tahun 2023, jadi dia mahu meluangkan masa bersama keluarga, meraikan suasana sambutan Deepavali yang dirindui.

“Deepavali tahun ini saya mahu sambut seperti sambutan meriah dulu-dulu, dapat  cuti, off-season.

“Tahun ini kali pertama saya mahu raikannya kerana sebelum ini berada di luar negara, mengambil bahagian di kejohanan antarabangsa selain penularan wabak Covid-19,” kata Prem yang diberi cuti selama 20 hari.

Prem Kumar menewaskan Avihinsa Fernando dari Sri Lanka untuk mara ke suku akhir kumite bawah 60kg lelaki.

Katanya, tahun ini dia mahu mengunjungi rumah sanak saudara yang sudah lama tidak dilakukan dan paling penting makan makanan kegemaran tanpa perlu memikirkan kejohanan.

“Makanan kegemaran saya musim Deepavali tentunya masakan emak, bukan selama ini saya tak makan tapi tak boleh makan banyak kerana perlu menjaga berat badan.

“Kali ini saya mahu makan apa sahaja sepuasnya, makanan tradisional seperti tosai, kari kambing semua, sangat sedap dijamu pada musim perayaan.”

Prem Kumar menerima insentif kemenangan pingat emas Sukan Sea Kemboja, daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, sepanjang rehat musim kejohanan, dia dan rakan sepelatih hanya melakukan latihan kecergasan  dan muscle endurance.

Prem yang selayaknbya digelar “Mr Flexible” dalam pasukan kumite beraksi dalam acara bawah 60kg pada Kejohanan Dunia di Budapest dan tersingkir di pusingan keempat.

Selain itu, dia turut beraksi pada kategori bawah 67kg yang menyaksikannya kandas di suku akhir selain meraih gangsa pada Kejohanan Karate Asia di Melaka Julai lalu, ketika beraksi dalam kategori bawah 55kg.

Di sebalik keperihan terpaksa menaik-turunkan berat badan bagi mengikut perancangan jurulatih, Prem, 29, layak menikmati erti Deepavali yang sebenar bersama keluarganya.