PENGALAMAN berharga diperoleh pada jelajah Eropah, meningkatkan lagi keyakinan Prem Kumar Selvam untuk mencipta pencapaian lebih baik di Kejuaraan Karate Asia Disember depan.

Prem, 28, pernah memenangi pingat gangsa di dua kejohanan itu pada 2018, mahu melakukan yang terbaik buat negara pada penampilan di penghujung tahun ini.

Menurutnya, dia bersama beberapa atlet lagi melakukan penjelajahan ke Eropah bagi menyertai beberapa kejohanan di Finland dan Turki, awal bulan ini.

Prem Kumar meraih pingat emas kategori Kumite Lelaki bawah 75 kilogram di Terbuka Finland awal bulan ini. Pingat perak turut dimenangi karateka negara, Raghonathan Sharmendran.

“Aksi terakhir saya sertai Terbuka Turki, saya dapat bermain dalam kategori bawah 60 kilogram (kg) dan saya menamatkan saingan di kedudukan keliima.

“Sebelum itu di Terbuka Finland, saya menang satu emas dan satu perak, tapi emas saya peroleh ketika saya bermain dalam kategori bawah 75 kg,” kata Prem ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Prem yang baharu dua hari tiba di Kuala Lumpur berkata, saingan di Eropah tidak sama seperti Asia, masing-masing ada kekuatan.

Namun katanya, tujuannya beraksi di Eropah bagi mempraktik teknik dan taktikal baharu yang akan digunakan di Sukan Asia (2023) dan Kejuaraan Karate Asia nanti.

Antara aksi Prem Kumar ketika menyertai kejohanan karate antarabangsa. Foto: Bernama

“Cabaran di Finland dan Turki, kedua-duanya mencabar. Contohnya di Turki, meskipun ramai pesaing tempatan, namun mereka amat sukar dikalahkan. Dalam satu kategori, terdapat lima hingga enam orang pemain kebangsaan Turki, mereka mempunyai ramai karateka.

“Malah saya pelajari di sana adalah bagaimana nak memperkuat mental, apabila beraksi di tempat lawan. Bukan hanya soal berat sebelah ingin saya nyatakan, tapi bagaimana karateka mereka bersemangat apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri,” kata karateka yang sudash Sembilan tahun mewakili negara.

Katanya, sasaran utamanya kini terarah kepada Kejuaraan Karate Asia yang akan berlangsung di Taskent, Uzbekistan, 16 hingga 20 Disember depan.

Hasil dari pengalaman di Finland dan Turki, Prem menyifatkan dia perlu meningkatkan proses membuat keputusan terutamanya menukar taktikal dan menggunakan teknik yang tepat ketika sedang menghadapi lawan.

Prem juga berharap dia mampu bertahan lebih lama dalam sukan ini, kerana mahu beraksi di Sukan Olimpik.

Pada Olimpik Paris 2024, Karate tidak dipertandingkan kerana memberi laluan kepada Break Dance dan sukan itu hanya akan kembali dipertandingkan di temasya Los Angeles, 2028.