PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF), Mejar General Khiev Sameth meluahkan kekagumannya terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), serta Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin kerana usaha yang luar biasa dalam mencatatkan impak cemerlang dalam Fasa Satu Pelan Strategik FAM F:30 tahun 2019-2022.

Menurut Khiev yang berasal dari Kemboja, fasa satu telah menjadi saksi kepada keupayaan FAM untuk memberikan transformasi yang jitu dan mampan terhadap bola sepak Malaysia.

Dalam masa yang sama, ianya dapat membina asas yang lebih kukuh dalam pengurusan, pertandingan, modal insan, dan pembangunan infrastruktur walaupun fasa satu merupakan tempoh yang sukar akibat pandemik.

“Sumbangan dan pencapaian bola sepak kebangsaan yang berada di bawah kepimpinan Hamidin telah membuktikan bahawa pihaknya (FAM) berkhidmat dengan ikhlas dan tidak ego untuk memastikan skuad bola kita sentiasa berada di landasan terbaik.

“Hasil tugasan pihak FAM yang tidak berkira, ia juga telah membantu Malaysia mencapai ranking dunia FIFA tertinggi dalam lapan tahun terakhir.

“Walaupun memang sulit untuk mencapai semua matlamat dalam fasa satu, AFF tetap bangga atas apa yang telah bola sepak negara capai di tahap ini,” ujarnya dalam Majlis Pelancaran Pelan Strategik Fasa Kedua F:30 2023-2026.

Sementara itu, beliau melihat fasa kedua F:30 yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia di peringkat tertinggi Asia telah menunjukkan tanda-tanda positif dengan pasukan kebangsaan senior dan skuad muda layak ke Piala Asia Qatar 2023.

“Saya yakin pihak FAM akan berusaha lebih keras dalam fasa kedua ini untuk membangunkan lagi bola sepak negara sejurus lebih banyak berhubung dengan sumber kolaboratif serta lagi berani memberi pendekatan baru dalam pembangunan belia.

“AFF akan sentiasa menyokong hasrat FAM bagi mencapai matlamat fasa kedua F:30 ini dan akan mengorak langkah bersama dalam memajukan bola sepak negara,” kata beliau.