KHABAR baik untuk penyokong Selangor FC selepas Nidzam Jamil diumumkan sebagai ketua jurulatih kelab itu bagi musim 2024/25.

Penyokong Merah Kuning pastinya gembira dengan berita pelantikan semula Nidzam dan ini menandakan kesinambungan dalam kepimpinan pasukan dan memberi harapan untuk prestasi yang lebih cemerlang pada musim yang akan datang.

Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, pengendali kelahiran Kajang itu bukanlah sosok asing dalam kelab ini, dan beliau telah membawa pasukan ke tahap yang baik sebelum ini.

“Keputusan untuk melantik semula beliau menunjukkan keyakinan dalam keupayaannya untuk terus memimpin pasukan ke arah kejayaan. Dengan sokongan penuh dari penyokong, diharapkan Selangor FC dapat mencapai matlamat yang lebih tinggi di musim yang akan datang.

“Memilih jurulatih import mungkin memerlukan pertimbangan yang teliti, terutamanya dalam konteks dinamika pasukan dan pemain sedia ada. Jurulatih import mungkin berasa tertekan dengan pemain yang telah ada sebelum ini adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

“Dengan mengekalkan Nidzam, Selangor FC boleh memanfaatkan kestabilan dan kesinambungan dalam kepimpinan untuk membangunkan pasukan dengan lebih berkesan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Tambah Faizal, kerjasama antara Nidzam dan bekas jurulatih Tan Cheng Hoe dalam pemilihan pemain, termasuk pemain baru dan import musim ini adalah penting dalam memastikan pasukan memiliki kestabilan dan visi yang sama.

“Dengan keterlibatan Nidzam Jamil dalam proses pemilihan ini, ia membuktikan bahawa beliau memiliki kepercayaan penuh dari pihak pengurusan dalam membentuk barisan pemain yang terbaik untuk Selangor FC.

“Kejayaan pasukan akan bergantung kepada kolaborasi yang kukuh antara jurulatih dan pengurusan dalam menetapkan strategi yang tepat untuk mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Nidzam Jamil dilantik ketua jurulatih The Red Giants

Mengulas lanjut, Faizal akui pengalaman Nidzam yang mendalam tentang pasukan dan liga tempatan, membolehkannya membuat keputusan yang bijak dalam pemilihan pemain, taktik perlawanan, dan pengurusan pasukan secara keseluruhan.

“Sebagai penyokong setia, kehadiran Nidzam memberi keyakinan kepada kita bahawa Selangor akan bersaing dengan cemerlang, terutamanya dalam perlawanan penting kalendar bola sepak Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim dalam Piala Sumbangsih.

“Saya faham penyokong lain tidak sabar untuk melihat persembahan pasukan. Semoga Selangor FC berjaya mencapai kejayaan yang gemilang,” ujarnya lagi.