PRESIDEN Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid memuji kesungguhan pemain Selangor FC (SFC) berikutan kemenangan sensasi 4-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ahad malam.

Sambil tersenyum puas, Mohd Faizal memberitahu SFC menggunakan peluang sebaiknya di hadapan penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk merekod tiga mata bermakna ke atas pasukan yang bakal beraksi pentas AFC musim ini.

“Pemain SFC bijak menggunakan peluang sebaiknya kerana KDA FC tidak bermain dengan baik seperti perlawanan sebelum ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan untuk semua usaha mereka, atas komitmen yang mereka tunjukkan.

“Kedua-dua pasukan tidak mahu kalah, jadi akhirnya pasukan kesayangan kami yang mendapat kemenangan yang agak mudah ini,” katanya ketika dihubungi Flash Sukan.

Selepas seri dua kali dalam dua aksi awal saingan Liga Super musim ini, skuad Merah Kuning kendalian Michael Feichtenbeiner jelas mendominasi aksi dengan kerap melakukan percubaan berbahaya ke kubu pelawat.