PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap lebih ramai pengadil tempatan mengikut jejak langkah pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang terpilih ke Piala Asia di Qatar pada Januari.
Hamidin juga turut menasihati ketiga-tiga pengadil ini berkaitan dengan aspek prestasi semasa perlawanan, keberadaan aspek kecergasan pada tahap optimum dan sikap profesionalisma yang patut ada pada seorang pengadil yang bertaraf dunia.
“FAM akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada pengadil agar mereka akan terus mencapai tahap tertinggi di peringkat AFC dan FIFA. AFC telah memiilih Nazmi dan dua pembantunya untuk mengalas tugas pada Piala Asia di Qatar yang mana ia satu pengiktirafan dan diharap akan terus menjadi pemangkin kemajuan pengadil bola sepak Malaysia.
“Menjadi harapan kami untuk melihat lebih ramai pengadil Malaysia memegang tugas utama dalam perlawawan antarabangsa terutama di Kejohanan Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico,” katanya ketika meluangkan masa bersarapan dengan mereka di Wisma FAM pada Jumaat.
Sebelum ini, AFC juga telah memilih Nazmi dan pembantunya untuk mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24 antara Buriram United dan Zhejiang FC dan perlawanan melibatkan Navbahor dan Mumbai City di India.
Seterusnya, Nazmi juga telah dilantik untuk perlawanan ACL berikutnya pada 24 October di China. Apa yang menarik, kesemua perlawanan ACL menggunakan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Nazmi serta pembantunya adalah pengadil tempatan pertama yang diuji dan menguji sistem itu.