PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, pada Khamis.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyantuni kunjungan hormat Hamidin yang menyembah maklum perihal perkembangan semasa bola sepak negara selain mengucapkan tahniah dipilih sebagai Ahli Majlis Fifa bagi penggal 2023-2027 pada 1 Februari lalu.

“Tuanku menyifatkan kejayaan saya dipilih sebagai Ahli Majlis Fifa ini adalah sesuatu yang unik dan luar biasa.

“Malah Tuanku menitahkan Datuk Hamidin menjadikan peluang ini bukan sahaja sebagai platform mengembangkan kerjaya tetapi turut dijadikan nilai tambah dalam bola sepak Malaysia,” kata Hamidin menerusi kenyataan Facebook FAM.

Hamidin yang mengenali Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 1988 itu mengambil kesempatan memaklumkan mengenai usaha-usaha membangunkan lagi program bola sepak wanita terutama mengenai Festival Bola Sepak Wanita Serantau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijalankan di beberapa buah negara, baru-baru ini.

Turut dibincangkan program akar umbi terutama di Akademi bola sepak Selangor iaitu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools yang selaras dengan Piagam SupaRimau FAM.

Antara perkara yang ditekankan oleh  Sultan Sharafuddin Idris Shah ialah mengenai stadium baharu Selangor yang akan turut dilengkapi muzium sukan dan bola sepak.

“Tuanku menitahkan saya untuk sama-sama memberi pandangan dan buah fikiran untuk muzium sukan dan bola sepaknya yang akan melengkapkan lagi stadium baharu nanti.

“Dalam pada itu, Tuanku turut memberi penjelasan mengenai kelengkapan stadium baharu itu dengan turut meminta pandangan AFC dan FIFA untuk nilai tambah dari pelbagai aspek teknikal merangkumi padang dan bilik persalinan,” tambah Hamidin.

Hamidin menganggap Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai mentor dalam kerjaya awal bola sepaknya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah memegang jawatan Presiden FAS pada tahun 2000 manakala Hamidin selaku Setiausaha Agung FAS ketika itu.

Manakala perkenalan pada 1988 bermula sejak Hamidin giat sebagai orang kuat dalam Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC).

Hamidin berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif FAS pada 1995 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998 dan dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013 seterusnya Presiden FAM pada 2018.

Mengiringi Hamidin ialah Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.