PRESIDEN Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, telah melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, di Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil pada Sabtu.

Dalam pertemuan tersebut, Ab Ghani memperkenalkan Giorgio Pompili Rossi, yang baru sahaja dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL pada 6 September 2024.

Pelantikan ini menandakan era baharu dalam kepimpinan MFL, di mana Rossi dijangka membawa perubahan strategik dan meningkatkan profesionalisme dalam bola sepak tempatan.

Pertemuan itu turut membincangkan perkembangan terkini Liga Malaysia, termasuk usaha MFL dalam mempertingkatkan kualiti liga serta mengukuhkan lagi pengurusan pasukan dan penganjuran perlawanan.

May be an image of 1 person, dais and text

Selain itu, Ab Ghani juga mengambil peluang untuk mendapatkan pandangan Datuk Seri Windsor mengenai beberapa isu berkaitan pengurusan liga dan bola sepak tempatan secara keseluruhan.

Turut hadir dalam perbincangan penting ini adalah Timbalan Setiausaha Agung AFC,  Shin Man Gil, yang turut berkongsi input dalam usaha memajukan lagi industri bola sepak di rantau Asia.

Dengan kerjasama erat antara MFL dan AFC, diharapkan Liga Malaysia akan terus berkembang sebagai salah satu liga bola sepak terkemuka di Asia.