MESKIPUN Johor Darul Ta’zim (JDT) dianggap sebagai seteru ketika di dalam padang, namun ianya bukan alasan buat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim untuk mendapatkan bimbingan daripada pemiliknya, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk memperkasakan pasukan Terengganu FC musim hadapan.
Menurut Hishamuddin menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya, JDT yang dianggap sebagai sebuah kelab serba lengkap akan terus dijadikan model buat bola sepak negeri Terengganu.
Pada masa yang sama, Hishamuddin juga berkata, Tunku Ismail juga mahu melihat Terengganu digilap dengan lebih baik agar mempunyai masa depan yang lebih dalam kancah bola sepak tanah air.
“Baginda sentiasa bersikap terbuka dan sangat berbesar hati untuk melihat pasukan Terengganu menjadi pasukan yang perlu digilap untuk masa depan yang lebih baik dalam kancah bola sepak negara,” tulisnya hantaran itu.
Namun begitu Exco Belia Dan Sukan negeri itu juga tidak menghalang skuad Hitam Putih memberikan tentangan yang sengit kepada Harimau Selatan seperti yang dipamerkan ketika aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Jumaat lalu.
Selain itu, Hishamuddin juga menjelaskan Terengganu akan menggunakan pendekatan ukur baju di badan sendiri selain memperkasakan pembentukan bakat-bakat baharu yang lebih berprestij kerana bakal berhadapan situasi kewangan yang mencabar musim hadapan.
“Sedar dengan keadaan semasa, tentunya TFC sentiasa mengukur baju di badan sendiri dan memperkasakan pembentukan bakat-bakat baru Terengganu yang lebih berprestij. Musim depan, musim yang sangat mencabar dalam aspek kewangan kelab. TFC akan berusaha berbelanja dengan sederhana,” tambahnya lagi.
Dengan itu, para penyokong boleh menjangkakan Terengganu FC kendalian Tomislav Steinbruckner akan turut dibarisi dengan pemain-pemain muda berbakat dalam menghadapi saingan musim 2024-25 akan datang.