PRESIDEN Singapura Tharman Shanmugaratnam memuji penjaga gol Singapura, Hassan Sunny selepas menderma wang yang diberikan oleh peminat bola sepak China kepada badan amal.

Hassan Sunny mengaut keuntungan besar selepas membantu China layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Akaunnya menerima banyak wang yang dihantar daripada penyokong Negara Tembok Besar. Bukan itu sahaja, perniagaan restorannya turut dikunjungi ramai pelanggan dari China.

Bagaimanapun, selepas menerima wang yang banyak, Hassan Sunny membuat pengumuman meminta penyokong China berhenti menghantar wang kepadanya. Penjaga gol berusia 40 tahun itu juga akan menyumbangkan wang itu kepada badan amal.

Tindakan Sunny menyumbangkan wang tersebut kepada badan kebajikan mendapat pujian daripada Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam ketika menyampaikan ucapan Aidil Adha.

“Terima kasih Hassan Sunny kerana menunjukkan jalan kepada saya. Hassan memutuskan untuk menyumbangkan sumbangan yang diberikan kepada gerai penjaja yang diusahakan oleh isterinya Aidah Rahim dan dia, untuk tujuan kebajikan,” kata Tharman dalam catatan Instagram yang dipetik oleh Channel News Asia.

“Selamat menunaikan haji kepada semua umat Islam, dan semoga kita semua mempunyai semangat kasih sayang dan perkongsian yang sama,” tambah Tharman.

Hassan Sunny menjadi hero kepada pasukan kebangsaan China kerana aksi menakjubkan ketika menentang Thailand menghalang Singapura daripada dibolosi banyak gol. Pada perlawanan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026, Singapura tewas 1-3 kepada Thailand.

Keputusan ini membantu China layak ke pusingan seterusnya selepas menang head to head ke atas Thailand. Jika Thailand menang dengan margin lebih daripada dua gol, pasukan yang digelar Gajah Perang akan layak ke pusingan ketiga.