KEPUTUSAN tidak meletakkan sasaran spesifik di Sukan Asia kali ini, satu keputusan tepat atau tidak bergantung kepada hasil yang ditunjukkan atlet negara yang bersaing di Hangzhou, China, dari 23 September hingga 8 Okober depan.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berkata, sama ada amalan sama akan diaplikasikan pada temasya sukan lain selepas ini, akan diteliti semula selepas melihat pencapaian di Hangzhou.
“Buat pertama kali mencuba amalan (sasaran) keseluruhan ini. Kita akan tengok keputusan di Sukan Asia dan akan buat post portem serta perbincangan.
“(Sukan) Olimpik memang berbeza sedikit sebab ada Jawatankuasa RTG (Road to Gold), jadi kita perlu melihat kepada keputusan di Sukan Asia dan kemudian putuskan untuk teruskan atau tak sistem baru ini,” katanya.
Buat kali pertama tiada sasaran spesifik pingat emas, sebaliknya hanya keseluruhan 27 pingat disasarkan untuk kontinjen negara seperti diumumkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) ke Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, semalam (Isnin).
Kontinjen Malaysia dianggotai 289 atlet dan 145 pegawai dengan jumlah besar 434 (309 lelaki dan 125 wanita) yang akan menyertai 22 daripada 40 sukan dipertandingkan.
Pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, kontinjen negara meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.
Jika kontinjen negara di Temasya Hangzhou berjaya memperoleh keputusan postif di Hangzhou, pastinya amalan tidak meletak sasaran warna pingat satu keputusan bijak, namun jika ia mahu diteruskan ke Sukan Olimpik Paris 2024, mungkin sudah tiba masanya untuk membubarkan program Road to Gold (RTG), kerana pingat emas bukan lagi satu keutamaan.