PENGENDALI Belanda, Ronald Koeman melihat kesukaran Cody Gakpo untuk menyesuaikan dirinya dalam Liga Perdana Inggeris adalah kerana prestasi buruk Liverpool ketika ini yang tidak membantu pemain itu untuk berasa selesa.
Gakpo, 23, berhijrah ke Liverpool dari PSV Eindhoven bulan lalu dan masih gagal menjaringkan gol dalam enam penampilan manakala The Reds pula gagal meraih kemenangan sejak tahun baru.
Kekalahan terbaharu 3-0 kepada Wolverhampton Wanderers menambah lagi tekanan pasukan kendalian Jurgen Klopp itu dan ianya menyebabkan Gakpo tidak mendapat menfaat darinya.
“Anda dapat melihat Cody kini berada dalam pasukan yang tidak dalam keadaan yang baik. Ini sudah tentu menyukarkan dia sebagai pemain baharu kelab. Anda perlu diuji secepat mungkin. Jika anda tidak menjaringkan gol atau tidak penting dan tidak memenangi sebarang perlawanan, ianya amat sukar untuk pemain muda. Ianya berbeza jika anda sudah berusia 28 tahun dengan pengalaman,” jelas Koeman.
Jurulatih yang kembali mengambil alih tugasan sebagai Ketua Jurulatih Belanda itu turut berkata ianya bagus untuk mempunyai pemain muda Belanda berhijrah ke liga yang lebih besar tetapi ianya juga mungkin sukar buat mereka.
“Tahap permainan di England lebih tinggi jika dibandingkan dengan di Belanda, namun mereka tetap pemain muda bukan? Seperti apa yang terjadi kepada Ryan Gravenberch yang ke Bayern Munich tetapi tidak bermain, ini akan menyukarkan mereka,” tambahnya dalam satu temubual di YouTube.
Sebagai jurulatih kebangsaan yang baharu, Koeman mahu memerhatikan kepada semua pemain Belanda yang bermain di luar negara kerana dia mahu menjadikan mereka pilihan utama untuk kempen kelayakan Euro 2024 yang bermula pada Mac.
Kegagalan pemain-pemain muda berpotensi ini untuk beraksi lebih kerap dan kehilangan motivasi pasti menyukarkan Koeman untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Perancis dan Gibraltar dalam kempen kelayakan itu nanti.