SEMAKIN menghampiri Temasya Olimpik Paris, prestasi pemain badminton negara bagai terus terumbang ambing dan terbaharu melibatkan gandingan campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kandas di pusingan pertama Terbuka Perancis.
Tiada pilihan buat mereka melainkan segera mencari formula bagi melonjakkan prestasi, bagi mengelak tersingkir awal di Seluruh England yang bermula Selasa ini.
Semalam, pasangan nombor sembilan dunia itu ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Perancis selepas tewas di tangan pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping 18-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.
“Banyak melakukan kesilapan dan ini menjadi punca kepada kekalahan kami dalam perlawanan ini.
“Sekali lagi, kami patut lebih bersabar dan yakin dengan diri sendiri,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, semalam.
Tiada jalan mudah dalam siri jelajah di Eropah kali ini apabila Tang Jie-Ee Wei dijadual menempuh satu lagi ujian getir apabila memulakan cabaran di Seluruh England menentang juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.
Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali ke atas pasangan Thailand itu dalam enam pertemuan sebelum ini.
Dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasangan itu yang berlangsung tahun ini, di pusingan kedua Terbuka India dan final Masters Thailand turut memihak kepada Dechapol-Sapsiree.
Satu-satunya kemenangan yang dicatat Tang Jie-Ee Wei adalah ketika suku akhir Terbuka Artik di Finland pada Oktober tahun lalu.
Justeru, Tang Jie-Ee Wei yang berada di bawah bimbingan Nova Widianto perlu menampilkan aksi luar biasa bagi mengelak daripada tersingkir di pusingan awal buat kali kedua berturut-turut.
Pada edisi Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.
Tang Jie-Ee Wei menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke final saingan Jelajah Dunia BWF musim ini, selepas muncul naib juara di Masters Thailand, bulan lalu.