NAMA Jurgen Klopp tiba-tiba muncul sebagai calon jurulatih baharu pasukan kebangsaan Jerman. Namun begitu, berita ini segera dinafikan oleh pengurus Liverpool itu.
Jerman sebenarnya baru sahaja menandatangani Hansi Flick selepas gagal dalam Pusingan 16 Euro 2020. Ketika itu Jerman masih dibimbing oleh Joachim Loew.
Mempunyai rekod baik semasa mengendalikan Bayern, Flick disasarkan mampu membawa lebih banyak kejayaan pada Piala Dunia 2022. Malangnya, keputusan itu jauh meleset daripada jangkaan apabila Jerman sekali lagi tersingkir dalam fasa kumpulan.
Mereka malah hanya menang sekali ke atas Costa Rica dan ditewaskan oleh Jepun. Prestasi buruk di Qatar tahun lepas berterusan sejak kebelakangan ini.
🚨 German newspaper Bild has started a campaign to appoint Jürgen Klopp as the new head-coach of Germany! 🇩🇪
Could be tempted to leave Liverpool? 👇🤔 pic.twitter.com/WmiDo6qlLL
— Transfer News Live (@DeadlineDayLive) June 21, 2023
Daripada 16 perlawanan terakhir, Jerman hanya menang empat kali. Malah, dalam tiga perlawanan percubaan terakhir mereka, Jerman dikalahkan oleh Poland dan Colombia, setelah diikat 3-3 oleh Ukraine.
Prestasi buruk Jerman bersama Flick telah menimbulkan kemarahan peminat kerana seakan mengancam peluang mereka untuk menang pada Piala Eropah tahun depan, di mana mereka akan menjadi tuan rumah.
Oleh itu, nama Klopp muncul sebagai pengganti Flick. Klopp dianggap orang yang tepat untuk membawa Jerman di Euro 2024.
Dengan pengalaman dan juga siri trofi yang dimenanginya di peringkat kelab, sudah tiba masanya untuk Klopp melatih pasukan kebangsaan Jerman. Bagaimanapun, harapan Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) sudah pasti musnah kerana Klopp masih kekal di Liverpool sehingga kontraknya tamat.
“Jurgen mempunyai kontrak jangka panjang dengan Liverpool dan pasukan kebangsaan Jerman sudah mempunyai jurulatih, jadi ia tidak menjadi masalah bagi kami,” kata ejen Klopp, Mark Kosicke, kepada BILD.