ATLET terjun senior kebangsaan masih berada di tahap prestasi terbaik dan bersedia menyertai kejohanan antarabangsa.
Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MS), Bryan Nickson Lomas berkata, berdasarkan prestasi penerjun negara yang beraksi di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia kali kedua berakhir Isnin (semalam), empat atlet individu berjaya melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS).
“Prestasi di Terbuka Malaysia boleh dirumuskan bahawa atlet senior masih on track. Ooi Tze Liang dan Datuk Pandelela (Rinong) memberikan persembahan yang baik malah boleh dikatakan markah yang mereka perolehi mampu melepasi peringkat separuh akhir ataupun akhir di Kejohanan Terjun Dunia,” kata Bryan merumuskan pencapaian atlet negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Bryan berkata, empat atlet yang melepasi MQS dalam acara individu di Terbuka Malaysia berakhir semalam adalah Tze Liang dalam acara 3 meter (m) papan anjal, Pandelela, Jellson Jabilin dan Enrique MacCartney Harold (10m platform).
“Tze Liang, Enrique dan Pandelela dua kali melepasi MQS, manakala Jellson sekali.
“MQS ni menjadi garis panduan untuk melayakkan penerjun ke Kejohanan Dunia tahun depan,” tambah Bryan.
Menurutnya, pada Kejohanan Percubaan Kebangsaan September lalu, atlet senior dan remaja bersaing bersama-sama dan mula menampakkan sinar apabila ada atlet remaja yang boleh tewaskan penerjun senior.
“Kali ini mereka (remaja) tidak ikut serta kerana tidak cukup kuota, selain fokus kepada Kejohanan Terjun Remaja Dunia 2024 yang akan berlangsung di Brazil (24 November-1 Disember 2024).
“Namun lebih banyak kerja perlu dilakukan terutamanya di peringkat pelapis wanita dan ianya memerlukan masa yang agak lama,” kata Bryan lagi.
Pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia yang baru berakhir, Tze Liang berjaya meraih mata keseluruhan 411.75 mata di peringkat saringan sebelum terlibat dalam insiden kemalangan pada terjunan kedua pusingan akhir, 3m papan anjal.
Pandelela pula meraih 252.80 mata di final 10m platform wanita, Enrique (410.60) dan Jellson (361.00) pada final 10m platform lelaki.