SUDAH tiba masa buat gandingan campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencetus impak di kejohanan utama musim ini selepas kedua-dua pemain itu yang mula digandingkan pada November tahun lalu, menunjukkan peningkatan prestasi, merangkul dua gelaran juara Cabaran Antarabangsa Bangladesh (Disember 2022) dan Cabaran Antarabangsa Iran, awal bulan ini.

Malah, kemampuan mereka melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia, bulan lalu membuktikan mereka punya senjata dan semangat untuk menerobos kelompok atas.

Tang Jie-Ee Wei yang kini berada di ranking ke-43 dunia bakal berdepan ujian sebenar apabila dijadual beraksi dalam lima kejohanan berturut-turut di Eropah bermula Terbuka Jerman dari 7 hingga 12 Mac, Seluruh England (14 hingga 19 Mac), Terbuka Switzerland (21 hingga 26 Mac), Masters Sepanyol (28 Mac hingga 2 April) dan Masters Orleans (4 hingga 9 April).

Bagi Ee Wei, persiapan mereka ketika ini tertumpu kepada kekuatan mental bagi menghadapi jadual kejohanan yang padat itu.

“Setakat ini, kami dijadual beraksi dalam lima kejohanan tetapi jurulatih (Nova Widianto) akan buat keputusan akhir kejohanan mana yang akan kami sertai.

“Kami perlu bersedia dari segi mental bagi beraksi dalam kejohanan yang banyak selain perlu memastikan tahap kecergasan kami sentiasa di tahap yang tertinggi.

“Kami berharap dapat melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan yang kami sertai nanti dan kalau boleh dapat sekurang-kurangnya satu gelaran juara, sudah tentu lebih baik,” kata Ee Wei yang turut berada dalam skuad negara bersama Tang Jie bagi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu.

Perubahan ranking dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membolehkan mereka menyertai kejohanan berstatus lebih tinggi.

Pada kejohanan itu, Malaysia terkandas di suku akhir selepas tewas di tangan China 2-3.

Tang Jie-Ee Wei bermain dalam dua perlawanan di peringkat Kumpulan B yang menyaksikan mereka diturunkan buat kali pertama ketika membantu skuad negara membenam Kazakhstan 5-0 dengan menewaskan Makhsut Tadzhibullaev-Aisha Zhumabek, 21-9, 21-10.

Mereka kemudian tewas kepada Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 19-21, 21-19, 16-21 pada perlawanan terakhir Kumpulan B yang menyaksikan India menewaskan Malaysia 4-1.

“Secara keseluruhannya, ia pengalaman yang baik untuk saya dan Tang Jie di Dubai. Kami fikir, kami boleh melakukan yang lebih baik lagi ketika berdepan beregu India tetapi ia adalah sebahagian daripada proses yang kami perlu lalui untuk mencapai keputusan yang lebih baik di peringkat tertinggi,” kata Ee Wei.

Di Terbuka Jerman, Tang Jie-Ee Wei dijadual menentang rakan senegara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing di pusingan pertama.