PULANG ke tanah air tanpa gelaran, ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun sifatkan prestasi pasukan lelaki di Piala Raja Thai 2023 yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, hanya sederhana baik.
Menurutnya, masih wujud jurang perbezaan kualiti sepak takraw Malaysia dan Thailand.
Justeru, pembetulan segera perlu dilakukan dalam skuad takraw negara sebelum temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, 23 September hingga 8 Oktober depan, bermula.
“Perlu lebih konsisten dalam segala aspek permainan, bagi mengimbangi kekuatan Thailand, perkara ini sudah saya nyatakan kepada pemain bahawaa kita perlu bersiap sedia lebih awal sebelum ke Sukan Asia,” kata Ahmad Jais.
Beliau yang mengambil alih peranan kejurulatihan, Februari lalu berkata, kekurangan dari segi konsistensi dalam permainan menjadi faktor utama membezakan skuad negara dengan pasukan Gajah Perang itu.
“Selepas ini, kita akan sediakan program yang menitik berat latihan fizikal dan mental. Beberapa program telah diatur bagi kita mengemaskan lagi persiapan ke Sukan Asia,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Jais menyuarakan kebimbangan mempersiapkan pasukan ke Piala Raja Thai ke-36, kerana tidak dapat mengumpul pemain dalam kem latihan kebangsaan secara sepenuh masa, berikutan komitmen pemain bersama pasukan masing-masing menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL).
Malah beliau sendiri tidak mampu mempertikai komitmen pemain yang hanya berlatih bersama dalam kem kebangsaan ketika ketiadaan perlawanan liga.
“Saya harap semua pemain beri komitmen terbaik, untuk berganding bahu bersama persatuan (Persatuan Sepak Takraw Malaysia-PSM), MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara),” katanya.
Pada saingan Piala Raja Thai, skuad negara muncul naib juara antara regu dan juga berpasukan regu lelaki, yang menyaksikan Thailand mengungguli kedua-dua acara itu.