PRESTASI atlet Kata di Kejohanan Karate Asia (AKF) 2023 disifatkan amat baik selepas berjaya meraih satu gangsa menerusi Kata berpasukan wanita, Lovely Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil.
Jurulatih Kata negara, Mohd Norfarhan Nordin berkata, bukan hanya trio wanita mempamerkan pencapaian yang baik, malah Kata individu lelaki juga.
“Dari segi prestasi, atlet Kata individu lelaki Muhammad Aiqal Asmadie sangat baik biarpun gagal meraih ingat.
“Dia muncul satu-satunya karateka lelaki dari Asia Tenggara, melepasi pusingan pertama dan beraksi di pusingan kedua pada edisi kali ini,” kata Norfarhan.
Menurutnya, kiluan pingat tidak menjadi ukuran utama baginya: “Bagi saya atlet adalah penting, mempunyai semangat dan memberi persembahan terbaik untuk pasukan negara.
“Daripada persembahan di sini, kita akan cuba hasilkan pencapaian lebih besar.
“Saya tidak mahu fikirkan sama ada atlet Kata ke Sukan Asia atau tidak. Jika terpilih, skuad Kata akan sentiasa bersedia dengan misi memberikan persembahan terbaik.”
Begitupun sekiranya tidak tersenarai ke Sukan Asia Hangzhou 2022, September depan, Norfarhan berkata, skuad kata negara akan mengikuti pertandingan Kejohanan Dunia ayang akan berlangsung di Budapest, Hungary Oktober depan.
“Paling penting, atlet kita perlu lebih cekap mengendalikan teknik kerana dalam persembahan, teknik amat penting di samping pergerakan Kata itu sendiri.”