MESKIPUN menghuni kedudukan kelima selepas tamat pusingan pertama Liga Super dan berjaya mencuri satu mata dari Johor Darul Ta’zim (JDT), namun mereka masih belum berpuas hati dengan pencapaian semasa itu.
Skuad Sang Saka Biru meneruskan tradisi menjadi pasukan ‘giant killers’ apabila berjaya mengikat JDT dan Terengganu FC serta menang keatas Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC terutama ketika beraksi di laman sendiri.
Walaupun berjaya mencuri mata dari lawan yang lebih hebat, namun skuad kendalian P.Maniam itu sering keciciran mata apabila bertemu lawan yang lebih rendah kedudukannya dan prestasi yoyo ini meresahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin.
“Kita berada dalam kedudukan dan prestasi yang terbaik tetapi kita buang mata dengan pasukan yang tidak sepatutnya kita kalah. Prestasi kita agak yoyo, tidak boleh dibanggakan dan tidak boleh terlampau seronok dengan kedudukan semasa.
“Memang semua katakan kita berada pada kedudukan kelima tetapi untuk kekalkan momentum itu, perlukan usaha yang betul-betul keras dan penuh efisien daripada semua pemain dan pengurusan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media sesi pengumuman radio, duta dan portal rasmi PDRM FC di Petaling Jaya, pada Rabu.
Dalam sidang media yang sama, ASP Hafiz percaya PDRM FC mampu memberikan persembahan dan keputusan yang baik dalam pertemuan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu.
“Saya serahkan urusan teknikal kepada jurulatih untuk buat kerja ni. Tetapi bila kita berjumpa dengan barisan kejurulatihan, kita tengok reaksi wajah, mereka yakin untuk bagi kita keputusan yang positif.
“Itu yang saya tidak pernah menekan. Saya bagi kebebasan kepada barisan jurulatih untuk menentukan siapa pemain yang perlu diletakkan mengikut taktikal semasa yang perlu pada masa itu,” jelasnya.
PDRM FC mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan dan tiga keputusan seri serta empat kekalahan selepas mengharungi 11 perlawanan dan akan kembali menumpukan perhatian bagi menghadapi pusingan kedua dalam usaha sekurang-kurangnya kekal di tangga kelima Liga Super.