DUA hari menjelang aksi pertama Pestabola Merdeka 2023 yang kembali diadakan selepas 10 tahun, FLASH SUKAN  melihat kekuatan yang ada pada setiap bahagian Harimau Malay bagi menghadapi India pada Jumaat.

Selepas beberapa hari mengikuti sesi latihan skuad kebangsaan, dapat dilihat Kim Pan-gon mengekalkan majoriti pemain dari kem sebelumnya di China dan hanya membawa enam muka baharu sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Asia di Qatar tahun hadapan.

Menurut Pan-gon, tempoh yang semakin singkat menjadikan dia tidak boleh terlalu bereksperimen untuk mencuba pelbagai gandingan bagi memastikan barisan kejurulatihan mendapat kombinasi terbaik di setiap bahagian.

Antara bahagian yang tidak ketandusan bakat dalam skuad Harimau Malaya adalah benteng terakhir iaitu posisi penjaga gol. Untuk Kejohanan Pestabola Merdeka kali ini, Pan-gon membawa tiga penjaga gol namun hanya mengekalkan Syihan Hazmi dan membawa masuk Azri Ghani dan Suhaimi Hussin yang dipanggil buat pertama kali ke kem kebangsaan.

Pemilihan Syihan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana statusnya sebagai penjaga gol nombor satu negara dan juga beraksi cemerlang di peringkat kelab membantu Johor Darul Ta’zim sehingga ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC.

Sejak dipanggil mewakili negara, Syihan kebal di gawang dengan aksi-aksi akrobatik yang mengujakan dan meskipun dilihat bersikap tenang, namun dia mampu memberikan arahan kepada benteng pertahanan ketika di dalam padang.

Peluang Syihan untuk beraksi pada Pestabola Merdeka ini juga cerah kerana Pan-gon sudah pasti tidak mahu memperjudikan nasib terutama apabila berkemungkinan bermain hanya satu perlawanan sahaja jika tewas kepada India selepas Palestin menarik diri.

Namun begitu, Syihan diberikan tentangan sengit oleh dua lagi penjaga gol yang juga mempunyai rekod yang baik ketika bersama kelab masing-masing sama ada dalam saingan liga domestik dan juga pertandingan Piala AFC.

Aksi cemerlang Azri Ghani banyak membantu Kuala Lumpur City FC layak sehingga ke final Piala AFC 2022 dan dia juga sudah berpengalaman bermain di peringkat antarabangsa menerusi aksi di skuad B-23 tahun sebelum ini.

Persaingan dengan Kevin Ray Mendoza dan Azim Al Amin di kelab menjadikan Azri seorang penjaga gol yang baik dan mampu menggalas tugasan sekiranya Syihan mengalami kecederaan dan kepakarannya ketika penentuan penalti juga dilihat sebagai nilai tambah buat pemain berusia 24 tahun itu.

Meskipun baru kali pertama di panggil ke kem kebangsaan, Suhaimi Hussin bukanlah calang-calang penjaga gol. Beraksi baik di Terengganu FC dan dapat mengenepikan Rahadiazli Rahalim di posisi nombor satu sudah jelas akan kredibiliti yang ada padanya dan semakin mendapat perhatian daripada para penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan.

Pengalaman beraksi di Piala AFC juga bakal membantu Suhaimi sekiranya dia dipilih Kim Pan-gon malah pemain berusia 29 tahun itu juga sudah bersedia untuk membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan.

Suhaimi yang mendapat pujian jurulatih Bali United pada aksi Piala AFC sebelum ini juga mampu menggalas tanggungjawab jika diberikan peluang beraksi selain kelebihan ketika situasi satu lawan satu menjadi aset penting buatnya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama seterusnya ke Piala Asia.

Barisan kejurulatihan sudah pasti mempunyai pilihan mereka sendiri berdasarkan taktikal dan kekuatan pihak lawan, tetapi bagi penyokong, mereka tidak perlu risau kerana sesiapa pun yang ditugaskan mengawal gawang negara mempunyai pengalaman luas bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa.

Pilihan Flash Sukan: Syihan Hazmi