BERDASARKAN prestasi semasa, gandingan dari Akademi Badminton Malaysia (ABM) muncul beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei paling menyerlah sejak awal tahun ini, dengan graf prestasi yang baik dan stabil.
Berbanding dua lagi gandingan profesional yang berada di ranking elit dunia, iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, prestasi dipamerkan mereka sepanjang tahun ini, tidak menggambarkan kedudukan mereka dalam kelompok pemain teratas, namun tidak dinafikan mereka mempunyai pengalaman dan senjata yang digeruni pemain lawan.
Prestasi Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking ke-13 dunia ketika ini, dipengaruhi faktor prestasi pada enam kejohanan antarabangsa disertai mereka yang hanya bermain di pusingan pertama dan kedua.
Sementara Soon Huat-Shevon, kini berada di ranking kelapan pula beraksi pada tujuh kejohanan, muncul naib juara di Terbuka Switzerland dan suku akhir Indonesia Masters, manakala tiga kali tersingkir di pusingan pertama dan dua kali sekadar di pusingan kedua.
Begitupun, Tang Jie-Ee Wei tetap tidak layak menyertai program Road to Gold (RTG) berbanding dua gandingan terbabit yang pernah berada dalam kelompok 10 terbaik ranking dunia tahun lalu.
Justeru, gandingan ABM itu perlu membuktikan mereka layak diberi peluang berada dalam RTG, dengan memastikan mereka menyelinap masuk ke dalam kelompok elit dunia terlebih dahulu.
Tang Jie memasang impian untuk berada dalam RTG, yang diyakini mampu membantu dia dan pasangan, Toh Ee Wei untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024, namun itulah hakikatnya, dia perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan jawatankuasa program terbabit terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Tang Jie, 25, sedar bahawa dia dan Eei Wei, 23, perlu membuktikan kemampuan sebelum disenaraikan dalam program berkenaan yang diwujudkan khusus bagi membantu atlet yang berpotensi untuk memenangi emas di Olimpik.
Justeru, Tang Jie-Ee Wei yang muncul juara Masters Orleans di Perancis, minggu lalu tekad untuk terus bekerja keras bagi menyerlahkan potensi mereka sekali gus memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk disenaraikan dalam program RTG.
“Kami sedar terdapat ramai pemain yang hebat di dalam dan luar negara. Jadi, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan diri, memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan dan berjuang untuk kelayakan ke Sukan Olimpik.
“Jika dapat menjadi sebahagian daripada program ini (RTG), bermakna keupayaan kami diiktiraf semua pihak dan sudah tentu ia sesuatu yang positif. Sekarang tugas utama kami adalah berusaha untuk meningkatkan prestasi dan mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.
Sejak digandingkan, Tang jie-Eei Wei meraih gelaran di Cabaran Antarabangsa Bangladesh, Cabaran Antarabangsa Iran dan Orleans Master Perancis (Super300).
Selain itu, mereka muncul naib juara di Cabaran Antarabangsa Malaysia, suku akhir Terbuka Malaysia (Super1,000), pusingan kedua Terbuka India (Super750), suku akhir Terbuka Jerman (Super300), suku akhir Terbuka Switzerand (Super 300) dan pusingan pertama Seluruh England (Super1,000).
Turut tersenarai dalam RTG bagi sukan badminton adalah pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Dua kriteria utama untuk berada dalam program berkenaan adalah pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.
Tang Ji-Ee Wei ketika ini berada di kedudukan ranking ke-22 dunia.
Pasangan itu berpeluang untuk melonjakkan kedudukan ranking mereka jika berjaya mencatat keputusan positif apabila beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 25 hingga 30 April ini.
Tang Jie-Ee Wei akan membuka tirai kempen menentang pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kom Won Ho-Jeong Na Eun untuk aksi pusingan pertama.