BERITA baik buat juara berganda Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2023, Datuk Azizulhasni Awang apabila Jawatakuasa Road To Gold (RTG) meluluskan semua permintaannya sebelum ini.

Perkembangan ini disahkan Koordinator Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang menjelaskan pihaknya menunaikan permohonan Azizul bagi memastikan dia mendapat segala apa yang diperlukan untuk beraksi di tahap tertinggi sekaligus memenangi pingat emas Olimpik.

“Kita komited terhadap permintaan Azizulhasni bagi memastikan pasukannya mendapat sokongan yang diperlukan. Ianya lebih kepada permintaan domestik untuk kekal di Malaysia,” kata Stuart pada sidang media Mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara pada Isnin.

Sebelum ini, Azizulhasni melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun.

Pelumba dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu dilaporkan beberapa siri perbincangan sudah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun namun kini perkara itu sudah menemui jalan penyudah.

Dalam perkembangan sama, Stuart turut mengesahkan skuad hoki lelaki kebangsaan menjadi ahli terbaharu RTG sebagai persiapan mengharungi Sukan Asia 2023 di Hangzhou pada September.

Skuad Hoki akan menerima segala bantuan yang diperlukan untuk memastikan mereka memenangi pingat emas di Sukan Asia sekaligus secara secara langsung ke Sukan Olimpik Paris.

Dalam sidang media yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bajet RM6.9 juta diluluskan bagi proram RTG dan amaun itu dilihat mencukupi untuk menanggung atlet sedia ada.

“Dana ini cukup untuk kelompok atlet ketika ini tetapi kita harus tahu bahawa proses kelayakan masih berjalan. Jadi jika ada penambahan atlet, dana itu juga akan bertambah kerana permintaan turut bertambah. Buat masa ini, ia memadai.

“Kita perlu pastikan duit yang dilabur itu mendatangkan hasil kepada negara dengan komitmen atlet untuk mendapatkan pingat emas,” katanya.

Hannah turut menambah bahawa semua atlet yang terlibat di bawah program RTG akan diberikan elaun sebanyak RM3,000 dan mereka perlu menandatangani aku janji bagi memastikan mereka pada pada tahap prestasi terbaik.

Selain itu, mesyuarat itu juga turut memutuskan untuk memasukkan pemain badminton Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Manakala pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia kekal sebagai sebahagian daripada RTG sehingga jawatankuasa berpeluang bertemu dengan jurulatih baharunya Wong Tat Meng, dan turut diputuskan untuk mengekalkan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing sehingga fasa penilaian seterusnya pada September 2023.