KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) dengan kerjasama Badan Induk Ragbi Dunia (World Rugby) dan Asia Rugby telah melancarkan program latihan dan pendidikan dalam usaha memacu pembangunan ragbi serantau Asia.
Menurut Pengarah Pembangunan & Prestasi Tinggi KRM, Shahizam Tukiran, inisiatif ini bukan sekadar penganjuran program, malah menjadi langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan ragbi tempatan dengan mengambil inspirasi daripada negara-negara maju seperti Jepun, Korea, dan China.
Kata Shahizam, penghormatan besar buat Malaysia apabila dipilih sebagai tuan rumah untuk persidangan pembangunan Ragbi Asia ini.
“Program ini memberikan pengalaman dan pengetahuan yang sangat berharga, terutama dalam melihat bagaimana negara-negara Asia lain yang lebih maju dalam sukan ini mengatur strategi pembangunan mereka,” katanya ketika Program Latihan dan Pendidikan bersempena World Rugby Growth Development Conference 2024 di Padang Astaka, Jumaat.
Melalui hubungan yang lebih erat ini, KRM berharap dapat mencontohi model pembangunan ragbi di negara-negara tersebut dan memperbaiki sistem pembangunan di Malaysia.
Shahizam menjelaskan bahawa T1 Rugby berfungsi sebagai medium bagi mereka yang ingin mencuba ragbi tanpa risiko kecederaan yang tinggi.
“Dengan adanya T1 Rugby, kami dapat memperkenalkan ragbi dalam bentuk yang lebih selamat dan mudah difahami oleh pemain baru, ibu bapa, dan komuniti,” tambah Shahizam.
Ini dijangka membuka peluang bagi lebih ramai pemain, terutama remaja, untuk menjinakkan diri dalam ragbi.
Program latihan ini juga menjadi platform bagi KRM untuk menyelaraskan program-program sedia ada seperti Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) dan kerjasama bersama Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Dengan koordinasi yang lebih teratur, KRM berharap agar komuniti ragbi Malaysia, termasuk ibu bapa dan organisasi lain akan lebih memahami kaedah latihan dan pembangunan yang teknikal serta selamat.
Shahizam percaya usaha ini bukan sahaja memperkukuh ragbi di peringkat akar umbi tetapi juga menyediakan asas yang lebih kukuh untuk melahirkan pemain berprestasi tinggi.
Inisiatif T1 Rugby ini mencerminkan komitmen KRM dalam memperkasakan ragbi Malaysia, menjadikannya lebih mudah diakses dan lebih dekat dengan masyarakat di seluruh negara.