NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib telah mengambil inisiatif dengan menyertai Program Kecergasan Sukan Warga UiTM, yang kini menjadi sebahagian daripada projek istimewa beliau iaitu ‘Vice Chancellor Special Project’.

Program yang dijalankan oleh Pusat Sukan UiTM itu telah disambut dengan penuh semangat oleh Dr. Shahrin sendiri dan beliau turut mengakui betapa pentingnya program kecergasan sukan iaitu sebagai elemen utama pembangunan di universiti.

Menurut beliau, dengan menyokong setiap aktiviti sukan yang diadakan di UiTM, ianya dapat membawa mesej yang kuat tentang bagaimana kecergasan itu bukan sekadar aspirasi, tetapi satu keperluan untuk menjadikan universiti tersebut lebih gemilang.

“UiTM sentiasa mengutamakan isu-isu berkaitan kesihatan dan kesukanan, saya juga menganggap sukan ini bukan sekadar hobi tetapi ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan imej dan martabat universiti kita.

“Oleh hal sedemikian, saya berharap agar semangat kecergasan ini akan terus berkobar-kobar di kalangan komuniti UiTM.

“Tambahan pula, program UniFit ini bukan hanya sesuatu yang berlaku dalam jangka masa pendek tetapi pihak kami berazam untuk meneruskan inisiatif ini pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar oleh UiTM.

Difahamkan program UniFit ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti UniFit Aerobic2u, UniFit Gym, UniFit Cycling, UniFit Swimming, UniFit Running dan UniFit Walking sekali gus telah mencipta gelombang positif dalam kalangan warga UiTM.

Program yang berlangsung selama tiga bulan sehingga hujung tahun 2023 dilihat sebagai langkah ke arah mencipta budaya kecergasan yang mampan dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan universiti.

Dalam masa yang sama, kepimpinan Dr. Shahrin yang proaktif dan kesungguhan beliau dalam mengejar matlamat kecergasan juga menandakan satu langkah positif UiTM bagi menuju pengukuhan budaya kecergasan di kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dr. Shahrin yang baru sahaja dilantik menjadi Naib Canselor UiTM pada 2 November lalu juga mendedahkan bahawa beliau mempunyai minat yang khusus dalam kegiatan berbasikal dan itu bakal menjadi hobi utamanya.