KEHANGATAN saingan bola sepak antarabangsa, dihangatkan lagi dengan Karnival UNITI Pestabola Merdeka Kuala Lumpur 2023 menerusi program Ziarah Kasih, apabila kunjungan ke atas tiga legenda bola sepak negara iaitu Khalid Ali, P Darmalinggam dan S Pushpanathan, dilakukan.
Program Ziarah Kasih yang dijayakan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) itu, menyantuni tiga legenda terbabit, turut menyampaikan sedikit sumbangan buat mereka.
Ketua Setiausaha KPN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, karnival yang itu berjaya meraikan perpaduan, apabila legenda yang pernah mengharumkan nama negara ke persada antarabangsa, tidak dilupakan.
Malah, ia bukan sahaja bertujuan menyatupadukan masyarakat tetapi juga sebagai usaha untuk terus memperingati sejarah bola sepak Malaysia dengan cara yang bermakna iaitu dengan mengadakan Ziarah Kasih.
Program Ziarah Kasih ini juga boleh dianggap sebagai satu penghormatan kepada legenda bola sepak Malaysia yang mengukir nama negara di persada dunia.
Menurut Azman lagi, beliau berharap karnival ini akan menjadi satu detik kebanggaan untuk mengenang jasa legenda bola sepak Malaysia yang mengharumkan nama negara ini ke peringkat dunia.
“Sukan dan perpaduan adalah mesin kekuatan yang membantu menyatukan rakyat dalam kepelbagaian.
“Karnival seumpama ini adalah peluang kita untuk merayakan sejarah bola sepak Malaysia dan mengingatkan kita akan peranan dimainkan legenda dalam pembentukan negara.
“Menerusi acara ini, kita membuktikan bahawa perpaduan adalah jalan kita menuju kejayaan bersama dan terus memperkukuh ikatan kebangsaan dan membawa Malaysia ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.