PROSEDUR pembedahan skin allograft dan skin grafting yang dilakukan terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim berjalan dengan lancar.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata prosedur pembedahan itu merupakan sebahagian daripada pembedahan ketiga dan keempat yang dibuat untuk pemain berusia 25 tahun itu.

“Pembedahan yang ketiga iailah prosedur skin allograft, di mana kita mengambil tampalan kulit daripada Belgium. Tampalan kulit itu kita tampalkan di tangan dan juga di badan kecuali muka.

Shahril Mokhtar

“Pembedahan yang keempat iaitu prosedur skin grafting  yang dijalankan dua hari lepas pula mengambil masa lebih kurang enam jam, ia sedikit lama berbanding prosedur-prosedur sebelum ini.

“Kulit diambil daripada beberapa bahagian kulit badan Faisal Halim dan ditampal di lengan kirinya dan juga di bahagian badan. Alhamdulilah kesemua prosedur berjalan dengan lancar,” katanya selepas ditemui media di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

“Jadi apa yang berlaku selepas ni, doktor pakar akan pantau keadaan Faisal Halim esok dan akan membuat keputusan tarikh Mickey akan keluar daripada hospital. Tapi saya yakin dalam beberapa hari akan datang Faisal akan keluar.

Faisal Halim melancarkan merchandise miliknya beberapa hari sebelum kejadian buruk menimpa beliau.

“Tadi masa saya berjumpa dengan Faisal, saya boleh nampak perkembangannya sangat-sangat positif. Biasanya skin allograft kalau kita pesan, maklum balas dalam seminggu tetapi Alhamdulillah kita berjaya membawa daripada Belgium dalam masa 48 jam. Jadi pada hemat saya sekiranya lambat hari itu mungkin perkembangan positif Faisal Halim tidak sepantas ini

Saya difahamkan atas progress yang sekarang kemungkinan besar dalam masa tiga hingga enam bulan beliau akan kembali. Ini apa yang doktor perkatakan kepada saya dan juga kepada pasukan perubatan,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada doktor serta pihak hospital yang sentiasa menyokong usaha kelab, dengan mendapatkan skin allograft dalam masa 48 jam sebagai kunci utama.

Baginya, hubungan antara kelab dan hospital sangat penting demi kebaikan pemain.